KUALA LUMPUR – Polis Daerah Wangsa Maju berjaya menahan tujuh individu, termasuk dua wanita, yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Annas Bin Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 31 Julai 2026 kira-kira jam 9.02 malam daripada seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa disamun oleh empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan pisau ketika berada di kediamannya di No. T2B/23/10, 3 Tower, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM6,700.
Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan mereka di kawasan parkir kereta, Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur kira-kira jam 3 pagi.
Mereka terdiri daripada lima lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 38 tahun serta dua wanita warga tempatan berusia 13 dan 19 tahun.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Mereka direman sehingga 7 Ogos ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. – MalaysiaGazette















