Dr. Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bertekad terus menjunjung politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan antara kaum serta mengamalkan tadbir urus yang baik selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN memberi jaminan untuk terus bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai sebuah negeri yang stabil, maju, inklusif dan makmur untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

“BN menerima kemenangan ini dengan penuh rasa syukur dan tawaduk. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab, berorientasikan rakyat dan berpaksikan prinsip kestabilan serta kemajuan negeri.

“Kemenangan ini bukan sekadar satu pengiktirafan, bahkan merupakan satu amanah besar yang wajib dipikul dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan demi berkhidmat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat negeri itu terus meletakkan keyakinan kepada pendekatan politik yang sederhana, stabil dan berteraskan perpaduan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zambry, keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN berjaya memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi.

Sambil melahirkan kesyukuran atas kemenangan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Negeri Sembilan tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan semua lapisan masyarakat atas sokongan, keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada BN.

Selain itu, katanya, BN juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Presiden MIC, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), seluruh kepimpinan parti-parti komponen BN negeri dan Friends of BN.

Ujarnya, penghargaan turut diberikan kepada Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Penghargaan ini atas kepimpinan, komitmen dan usaha gigih dalam menggembleng seluruh kekuatan jentera sehingga membawa kepada kejayaan BN dalam PRN Negeri Sembilan,” ujarnya.

Selain itu, Zambry turut merakamkan terima kasih kepada jentera dari seluruh negara, sukarelawan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan proses demokrasi di negeri itu.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua calon BN yang telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk mewakili mereka sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast