Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP Negeri Sembilan berpendirian, pengerusinya, Anthony Loke tidak harus dipertanggungjawabkan atas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri semalam.

Setiausahanya, Cha Kee Chin berkata, kepimpinan beliau telah terbukti dan diiktiraf sebagai terbaik dalam sejarah DAP di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, bermula dengan dua kerusi pada tahun 2004, kepimpinan berwibawa Anthony telah melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati oleh kawan dan lawan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan telah berbincang dan sebulat suara memohon agar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP Pusat terus memimpin parti tersebut.

“Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bersolidariti dan terus menyokong Loke Siew Fook sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

“Kekalahan di kerusi Chennah dan Repah memang mendatangkan kekecewaan kepada kami, tetapi ia bukan salah Loke, beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kekalahan ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada PRN semalam, Anthony tewas di Chennah sekali gus meranapkan rekod tanpa kalahnya sepanjang 22 tahun bertanding.

Menurut Kee Chin, tatkala Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti di DUN Negeri Sembilan, DAP negeri memerlukan kepimpinan berkarisma beliau bagi menghadapi cabaran masa depan termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ujarnya, analisa awal keputusan PRN kali ini menunjukan calon-calon PH dan DAP masih mendapat sokongan padu dalam kalangan penyokong tegar meskipun menghadapi pihak lawan yang memainkan isu perkauman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast