KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada di hujung `tanduk’ dan hanya menunggu masa untuk rebah.
Beliau berpandangan, jika Parlimen dibubarkan, barisan kepimpinannya perlu bersedia mengambil alih kerusi pembangkang.
Menurut wakil rakyat PAS itu, jika formula Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diteruskan ke medan Pilihan Raya Umum PRU), tidak mustahil seluruh negeri di Semenanjung Malaysia akan berjaya ditawan termasuklah Pulau Pinang.
“Justeru pimpinan PN dan BN jangan menoleh ke belakang lagi, teruskan dengan formula kemenangan ini.
“Jangan peduli ajakan ‘bermaafan hari raya’ oleh PMX. Berkhidmatlah dengan kerajaan sekarang sebaiknya secara profesional menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” ujar beliau dalam hantaran peribadinya di laman sosial Facebook hari ini.
Keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN berjaya memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN memenangi tujuh kerusi.
Ahmad Fadhli selanjutnya menyatakan, penyokong PH perlulah berfikir semula untuk meneruskan sokongan dalam PRU akan datang kerana tiada gunanya menyokong pasukan yang hampir pasti tewas.
“Lagi pun ahli Parlimen PH jika ada yang menang tentu sekali tidak akan mohon peruntukan dari kerajaan sebagaimana mereka juga tidak beri peruntukan kepada pembangkang dalam penggal ini.
“Jadi lebih baik sokong pasukan yang menang dari awal lagi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan rakan-rakannya dari PH supaya bermuhasabah kerana ada sebab mengapa rakyat menolak mereka.
“Jangan persalahkan kami dengan memomokkan seolah-olah rakyat terpedaya dengan sentimen perkauman. Adakah anda rasa rakyat tidak cerdik?” soalnya. – MalaysiaGazette
















