P. Ramasamy
P. Ramasamy

GEORGE TOWN – Kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 Negeri Sembilan disifatkan sebagai titik peralihan politik yang memberi kesan besar terhadap kedudukan dan hala tuju parti itu.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, keputusan itu bukan sahaja menjadi tamparan kepada DAP di peringkat nasional malah menimbulkan persoalan terhadap pendekatan parti yang sering menampilkan pemimpin utama bertanding di kerusi negeri dan Parlimen.

Katanya, kekalahan Anthony Loke membawa implikasi lebih besar kerana beliau bukan sahaja seorang menteri Persekutuan tetapi juga Setiausaha Agung DAP.

“Saya sudah membuat ramalan sebelum ini berdasarkan andaian majoriti pengundi Melayu di kawasan tersebut akan menyokong pakatan BN-PN manakala 46 peratus pengundi Cina mungkin berpecah dalam memberikan undi mereka, dengan sebahagiannya memilih calon MCA.

“Ternyata apabila keputusan diumumkan, Anthony yang dianggap sebagai calon pilihan tewas dengan majoriti 688 undi.

“Kekalahan ini bermakna kredibilitinya sebagai pemimpin DAP mungkin telah terjejas selain boleh menguatkan kelompok dalam parti yang sebelum ini menentang kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, kekalahan itu bukan semata-mata berpunca daripada populariti peribadi Anthony sebaliknya mencerminkan perubahan sentimen rakyat terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya.

Jelas beliau, pendekatan kepimpinan PH yang gagal membawa penyelesaian terhadap beberapa isu melibatkan masyarakat bukan Melayu termasuk isu Teoh Beng Hock, kemasukan pelajar bukan Melayu ke program matrikulasi serta isu penternakan babi di Selangor kemungkinan menjadi faktor penolakan.

“Gelombang penolakan terhadap DAP bermula di Sabah dan berterusan dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan malah DAP yang sebelum ini sering mengkritik MCA kerana gagal memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina kini dilihat melakukan perkara yang hampir sama.

“Sehubungan itu, saya berpandangan Anthony wajar mempertimbangkan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan susulan kekalahan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Anthony berpandangan DAP tidak lagi relevan dalam kerajaan PH, beliau perlu memanggil kongres khas parti bagi menentukan hala tuju masa depan DAP.

Media semalam melaporkan, Anthony yang juga penyandang DUN Chennah selama tiga penggal sejak 2013 menyatakan akan mempertimbangkan untuk berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas kepada calon baharu BN, Siow Kong Choon.

Berdasarkan keputusan rasmi, Kong Choon (BN-MCA) berjaya meraih undi 5,726 sekali gus menang dengan majoriti 688 undi manakala Anthony Loke memperoleh 5,038 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast