KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) didakwa masih gagal menilai diri selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila terus menyalahkan politik identiti sebagai punca kekalahan.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff menyifatkan kenyataan pimpinan PH yang mendakwa kekalahan berpunca daripada permainan politik identiti oleh gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap angkuh serta gagal gabungan tersebut menilai kelemahan sendiri.
“Keangkuhan PH diteruskan selepas kalah. Sidang media PH menyatakan mereka kalah kerana PN-BN memainkan politik identiti dan bukan politik prestasi.
“Itulah yang diulang-ulang setiap kali menerima kekalahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Yusfarizal mendakwa, sepanjang kempen pilihan raya, BN dan PN bukan sahaja membangkitkan isu berkaitan identiti, malah turut mengetengahkan pelbagai isu ekonomi, prestasi pentadbiran negeri serta tawaran penyelesaian kepada rakyat.
Katanya, pencapaian negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) seperti Terengganu dan Kedah turut dibentangkan kepada pengundi sebagai bukti keupayaan mentadbir.
Menurut beliau, Pas juga berjaya menampilkan calon yang berkaliber, berakhlak dan dekat dengan rakyat, selain membawa pendekatan politik berteraskan penyelesaian.
“Pembangunan ekonomi, reformasi sistem dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda. Manifesto tetap membawa penyelesaian yang komprehensif.
“Namun, PH memandang rendah keupayaan lawan,” dakwa beliau.
Beliau turut berpandangan, naratif yang sering digunakan PH dengan melabel pihak lawan sebagai mengamalkan amalan rasuah tidak lagi berkesan apabila rakyat melihat parti itu turut berdepan kritikan terhadap pentadbirannya.
Menurutnya, apabila rakyat merasakan kedua-dua pihak tidak banyak bezanya, kepercayaan terhadap naratif yang dibawa PH semakin terhakis.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti politik supaya bermuhasabah dan mengamalkan sikap lebih merendah diri dalam berpolitik.
“Tahniah kepada BN dan PN. Semoga kerjasama ini membawa rahmat dan diteruskan.
“Kepada PH dan Bersatu, belajarlah menuding jari juga kepada diri sendiri. Janganlah sudah tersungkur, masih mendongak angkuh,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kuasa adalah amanah yang boleh berubah pada bila-bila masa dan semua pihak perlu terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira menang atau kalah. – MalaysiaGazette
















