SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau hadir menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir malam tadi selepas menerima titah daripada baginda.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan media mengenai sebab pertemuan diadakan pada waktu malam.
“Kerana saya dititahkan untuk menghadap malam ini,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Istana Hinggap Negeri Sembilan, di sini, lewat malam tadi.
Ketika ditanya mengenai individu lain yang turut hadir dalam sesi menghadap tersebut, Zahid enggan mengulas lanjut.
Beliau menegaskan perkara itu akan dijelaskan sendiri oleh pihak istana.
“Istana akan mengeluarkan kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















