SERI MENANTI – Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-9, Datuk Ismail Lasim mengesahkan Perikatan Nasional (PN) akan diwakili dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang kini dalam proses dimuktamadkan selepas pembentukan kerajaan negeri baharu.
Beliau berkata, perbincangan mengenai pelantikan Exco akan diadakan dalam masa terdekat termasuk bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum senarai nama dikemukakan untuk perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut beliau, Tuanku Muhriz turut dimaklumkan mengenai proses perbincangan itu dan baginda menggalakkan supaya ia diselesaikan secepat mungkin.
“Semestinya akan ada wakil daripada Perikatan Nasional. Kita juga akan mengambil kira pandangan dan cadangan daripada mereka sebelum senarai dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort di sini, hari ini.
Mengulas mengenai saiz pentadbiran baharu, Ismail berkata, kerajaan negeri bercadang mengekalkan jumlah 10 Exco sebagaimana amalan pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, katanya, pembahagian portfolio termasuk kedudukan exco kanan masih belum diputuskan dan akan dimuktamadkan selepas semua perbincangan selesai.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana setiap pelantikan perlu mengambil kira keseimbangan pentadbiran serta keperluan rakyat.
“Saya akan berbincang dengan presiden parti terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan. Kita juga akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkaitan,” katanya.
Ismail menyasarkan proses pembentukan barisan Exco dapat diselesaikan dalam minggu ini, atau selewat-lewatnya sebelum Jumaat, bergantung kepada kelancaran perbincangan dan proses yang perlu dilalui.
Beliau berkata, pertemuan bersama pimpinan parti serta wakil PN Negeri Sembilan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai komposisi pentadbiran baharu.
Dalam perkembangan sama, Ismail menjelaskan ketidakhadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada majlis angkat sumpah hari ini bukan disebabkan sebarang isu.
Sebaliknya dipercayai berpunca daripada notis jemputan yang dikeluarkan dalam tempoh singkat susulan keputusan pilihan raya yang hanya dimuktamadkan lewat malam semalam.
Terdahulu, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan pembentukan kerajaan negeri baharu hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. – MalaysiaGazette
















