Dr. Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh secara sinis berkata, beliau tidak mahu marah kepada Nga Kor Ming kerana para pengundi Negeri Sembilan telah mengikut nasihat Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu sehingga Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan pada pilihan raya negeri itu.

Beliau memetik kenyataan Kor Ming yang berkata, parti perkauman dan tunggang agama tiada tempat di Negeri Sembilan.

“Jadi, orang Negeri Sembilan dah ikut saranan Nga Kor Ming.

“Alhamdulillah, orang Negeri Sembilan tolak Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin DAP itu menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Akmal turut bertanya sama ada Kor Ming akan mengambil tindakan susulan berhubung keputusan pilihan raya tersebut.

“Jadi Nga Kor Ming bila nak letak jawatan?,” tanya Akmal lagi.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan mengingatkan pengundi agar menolak parti yang membawa politik perkauman dan agama serta menyatakan pendekatan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, Negeri Sembilan dibina atas semangat perpaduan dan rakyat terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup sebagai sebuah keluarga besar tanpa mengira bangsa.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) berkata, rakyat kini semakin matang dalam menilai corak politik yang sesuai untuk masa depan negeri, dengan memilih pendekatan yang menyatukan masyarakat berbanding retorik yang mencetuskan perpecahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bila orang kata sudah dua kali terkena, tak kan masih ada muka lagi..kalau manusia bermaruah dan masih ada harga diri WALK THE TALK..Bila nak letak jawatan.

Comments are closed.