Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertenang sebelum membuat sebarang keputusan berhubung masa kedudukannya sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, kekalahan di sesuatu kerusi sememangnya mengecewakan namun parti masih memerlukan kepimpinan dan komitmen Anthony Loke.

“Saya harap beliau dapat bertenang sehari dua dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan,” katanya di sini.

Mengulas kekalahan Anthony  di Chennah, Kon Yeow berkata, kerusi berkenaan sememangnya antara yang paling mencabar susulan kerjasama politik baharu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Dari awal kempen, kita mengakui ia adalah satu pertandingan yang sukar kerana komposisi kaum di kawasan itu serta konfigurasi politik baharu.

“Kempen juga banyak tertumpu kepada isu perkauman dan agama. Walaupun dalam keadaan sedemikian, ia tetap satu persaingan yang sangat sengit,” katanya.

Media semalam melaporkan, Anthony  yang juga penyandang DUN Chennah selama tiga penggal sejak 2013 menyatakan akan mempertimbangkan untuk berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas kepada calon baharu BN, Siow Kong Choon.

Berdasarkan keputusan rasmi, Kong Choon (BN-MCA) berjaya meraih undi 5,726 sekali gus menang dengan majoriti 688 undi manakala Anthony Loke memperoleh 5,038 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast