kerajaan gagal
Nordin Kardi

 

KUALA LUMPUR – Semangat kerjasama tiga serangkai antara UMNO, MCA dan MIC perlu diterjemahkan dalam bentuk baharu yang selari dengan cabaran semasa bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus relevan pada masa hadapan.

Tokoh akademik, Tan Sri Nordin Kardi berkata, ketiga-tiga parti komponen utama BN itu perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu selepas melalui tempoh sukar berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.

Menurut beliau, hubungan setiakawan yang dibina sejak sebelum kemerdekaan pernah berdepan tekanan apabila beberapa parti komponen BN meninggalkan gabungan tersebut, selain wujud suara yang mempersoalkan kelangsungan kerjasama UMNO, MCA dan MIC.

Namun katanya, ketiga-tiga parti itu akhirnya kembali kepada asas perjuangan bersama yang menjadi tunjang pembentukan negara.

“UMNO tidak lupa jasa MCA ketika UMNO diharamkan, UMNO tidak lupa jasa MCA pada tahun 1999 dan UMNO tidak lupa jasa Tun Sambanthan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Nordin berkata, tahun 2026 menjadi titik penting apabila MCA dan MIC kembali aktif dalam BN, dengan Johor menjadi medan percubaan yang menunjukkan hasil sebelum perkembangan positif turut dilihat di Negeri Sembilan.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai usaha mengembalikan semangat kerjasama politik yang pernah diterapkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Mengimbas sejarah, Nordin berkata, formula perkongsian kuasa Parti Perikatan pada Pilihan Raya Persekutuan 1955 membuktikan kebijaksanaan politik dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, walaupun majoriti pengundi ketika itu adalah orang Melayu, Tunku Abdul Rahman tetap memberikan ruang kepada MCA dan MIC bertanding di kawasan tertentu sebagai sebahagian daripada formula perpaduan.

“Daripada 55 kerusi, UMNO bertanding di 35 kerusi, MCA diberikan 15 kerusi dan MIC diberikan dua kerusi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu membuahkan hasil apabila Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi dipertandingkan, termasuk kemenangan semua calon MCA dan MIC.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan kepercayaan rakyat terhadap konsep perkongsian kuasa serta menjadi asas penting dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara.

Nordin berkata, cabaran BN hari ini ialah bagaimana membawa semula semangat tersebut dengan pendekatan yang lebih segar, terbuka dan melibatkan rakyat.

“UMNO, MCA dan MIC dituntut sekali lagi untuk menunjukkan kebijaksanaan baharu sesuai zaman bagi terus memperlebar lebuh raya menuju masa depan gemilang negara.

“Jelaskan kepada rakyat dan libatkan mereka dalam merangka perjalanan ke mana mereka hendak dibawa untuk 50 tahun akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan, kejelasan hala tuju serta penglibatan rakyat akan menjadi faktor yang membezakan BN dengan gabungan politik lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast