SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai kesinambungan momentum positif parti selepas kejayaan pada PRN Johor sebelum ini.

Menurut beliau, dua kemenangan berturut-turut itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap BN semakin kukuh dan wajar dijadikan pemangkin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Semoga momentum kemenangan Barisan Nasional ini terus berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, beliau mengikuti perkembangan  bersama pimpinan dan jentera parti menantikan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kemenangan di Johor sebelum ini yang disusuli kejayaan di Negeri Sembilan memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera BN untuk terus bekerja mendekati rakyat dan mengekalkan kepercayaan yang diberikan.

Pada masa sama, Menteri Besar Pahang  mengingatkan bahawa kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui pentadbiran berintegriti, khidmat bakti yang ikhlas serta komitmen tidak berbelah bahagi demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

Naib Presiden UMNO itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang memberikan sokongan kepada BN serta jentera parti dari seluruh negara, termasuk Pahang, yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan juga jentera termasuk jentera daripada Pahang yang telah berhempas pulas sehingga kita memperoleh kemenangan yang cukup istimewa dan bermakna ini.

”Terima kasih juga kepada semua jentera BN Pahang yang menjaga kawasan angkat di Palong dan Jeram Padang,” katanya.

Wan Rosdy berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan memberi petanda bahawa BN kini berada di landasan terbaik untuk terus memperkukuhkan sokongan rakyat menjelang PRU16.

“Alhamdulillah. Negeri Sembilan kini biru,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengumumkan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Kemenangan di Negeri Sembilan melengkapkan rentetan keputusan cemerlang BN selepas turut mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.

Sebelum ini di Johor, BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung semalam, seramai 646,084 atau 72.64 peratus telah keluar mengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast