Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak harus dipertanggungjawabkan terhadap kerugian AS$5.6 bilion yang dialami 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau memegang kedudukan tertinggi selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Peguam Datuk Lim Chee Wee berkata, Najib yang juga pemegang saham tunggal dalam 1MDB bertindak mempengaruhi lembaga pengarah bagi melaksanakan transaksi luar biasa dan secara tergesa-gesa.

Dakwa beliau, tindakan Najib bertujuan bukan sahaja untuk mengkayakan diri sendiri, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz malah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang merupakan proksinya.

Sebagai contoh, sebanyak AS$681 juta telah masuk ke akaun Najib pada 2013, pembelian barangan mewah isterinya, serta pelaburan ke dalam produksi Reza Aziz, `The Wolf of Wall Street’.

Menurut Chee Wee, plaintif akan mengemukakan bukti dokumentari mengenai perancangan, organisasi dan pelaksanaan penipuan dalam 1MDB dan Najib menutup penipuan tersebut.

Menurut Chee Wee, jawatan sebagai Menteri Kewangan memberikannya kawalan ke atas Menteri Kewangan Diperbadankan (MOC Inc.), mengawal pengarah serta pihak pengurusan 1MDB di antara 2009 dan 2016.

“Sepanjang tempoh ini, Jho Low selaku `pengarah bayangan’ memberikan arahan dan petunjuk bagi pihak Najib, walhal dia tidak memegang jawatan rasmi dalam pengurusan 1MDB.

“Akibat daripada penyelewengan ini, pihak plaintif mengalami kerugian berjumlah AS$5,644,525,051,” katanya ketika membacakan kenyataan pembukaan perbicaraan kes saman 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib.

Perbicaraan hari pertama itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Syarikat pelaburan strategik negara itu menyaman Najib dan tujuh yang lain bagi menuntut ganti rugi terhadap penyelewengan yang dilakukan mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit.

Chee Wee selanjutnya menyatakan, plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.

Lapan kausa tindakan yang sama juga dikemukakan terhadap defendan kelima, keenam dan ketujuh.

Menurut beliau, kes saman itu mempunyai persamaan dengan fakta dengan prosiding jenayah terhadap Najib.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.5 bilion.

Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast