PSATHA – Dua kru sebuah helikopter pemadam kebakaran maut dalam perlanggaran di udara di Greece pada Ahad ketika pasukan penyelamat berusaha memadamkan beberapa kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan tanah yang luas.
Dua helikopter Bell yang disewa bertembung ketika memadamkan kebakaran hutan di kawasan Psatha, di barat Athens, menurut pihak bomba.
“Juruterbang… dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan kematian mereka disahkan di sana,” kata Pengarah Komunikasi Jabatan Bomba, Vassilis Vathrakogiannis, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Rakaman televisyen menunjukkan salah sebuah helikopter melanggar bahagian bawah helikopter yang satu lagi sebelum meletup dan terhempas ke tanah.
Kru helikopter yang kedua berjaya diselamatkan.
Beratus-ratus anggota bomba sedang berusaha menghalang kebakaran di barat Athens daripada menghampiri pinggir bandar Athens selepas api merebak merentasi sebuah gunung pada waktu malam.
Jabatan bomba menggantung operasi semua helikopter Bell di kawasan itu sementara siasatan dijalankan, menurut televisyen negara ERT.
Dua mangsa yang maut ialah seorang warga Denmark dan seorang warga Greece, menurut kenyataan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis, yang sebelum ini memberi amaran bahawa beberapa hari mendatang akan menjadi “amat sukar”.
Kemalangan itu menjadikan jumlah korban akibat kebakaran di Greece minggu ini meningkat kepada lima orang, selepas tiga anggota bomba maut di Crete dan Peloponnese.
Helikopter berkenaan disewa daripada syarikat Australia, McDermott Aviation, yang mengendalikan armada sebanyak 15 helikopter. Syarikat itu memaklumkan bahawa mereka telah menyokong operasi pemadaman kebakaran di Greece sejak tujuh tahun lalu.
Pegawai telah memberi amaran sejak beberapa hari lalu bahawa angin kencang menjadikan operasi pemadaman dari udara berbahaya, menyebabkan kebanyakan pesawat tidak dapat beroperasi sehingga Ahad.
Mitsotakis berkata, Greece sedang mengalami “keadaan cuaca ekstrem” dengan kelajuan angin mencecah 100 kilometer sejam.
“Apabila angin bertiup sekuat ini, walaupun berpuluh-puluh pesawat yang kita miliki tidak dapat beroperasi dengan selamat,” katanya menerusi Facebook.
Sebanyak 220 kebakaran hutan dan kawasan pertanian telah berlaku di seluruh negara sejak Isnin. – Agensi
















