KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibahim bagi memohon supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dipanjangkan sekurang-kurangnya kepada dua hari.
Beliau berkata, surat yang dihantar bertarikh hari ini penting untuk diteliti kerana langkah tersebut bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen diberikan ruang serta masa yang mencukupi untuk membahaskan setiap dapatan, syor dan tindakan susulan Kerajaan secara menyeluruh.
“Cadangan berkenaan turut selaras dengan saranan yang dikemukakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Laporan RCI ini melibatkan kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji serta umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Radzi berkata, setiap dapatan dan syor yang dikemukakan perlu diberikan perhatian serta penjelasan yang sewajarnya.
“Tempoh perbahasan yang mencukupi akan memberi peluang kepada lebih ramai ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dan menyumbang pandangan bernas.
“Ini semua demi memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta pengurusan TH pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar mengumumkan satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dijadual berlangsung pada 11 Ogos 2026 bermula 10 pagi bagi membahaskan laporan RCI berkenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu dibuat bagi menyiasat isu-isu berbangkit berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH dengan laporan berkenaan kini turut diliti oleh Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tindakan susulan. – MalaysiaGazette
















