KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan warga Myanmar termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam sindiket ejen haram membekalkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam satu operasi khas di Bandar Mahkota Cheras, Selangor 1 Ogos lalu.
Operasi yang bermula kira-kira jam 3.50 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. susulan tindakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Julai lalu menerusi Op Crack bagi membongkar kegiatan sindiket terbabit.
Dalam serbuan di sebuah premis kediaman itu, seorang wanita Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram ditahan.
Siasatan awal mendapati wanita itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM dalam operasi terdahulu.
Turut ditahan ialah seorang lelaki dan enam wanita warga Myanmar yang berusia antara 29 hingga 56 kerana dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.
JIM dalam kenyataannya memaklumkan, semakan awal mendapati suspek wanita yang dipercayai ejen haram itu memiliki PLKS Sektor Perkhidmatan, manakala empat wanita warga Myanmar didapati tinggal lebih masa di negara ini.
Selain itu, seorang lelaki dan dua wanita warga Myanmar dipercayai tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyita 16 pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu serta dokumen berkaitan pembekalan pekerja. Sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan itu turut disita.
JIM berkata, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan khidmat ejen haram untuk menawarkan PLKS yang dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang dipercayai telah diceroboh.
Sindiket itu dipercayai menyasarkan warga asing di Lembah Klang yang tidak mempunyai pas sah atau telah tinggal lebih masa di Malaysia.
Mereka turut membekalkan pekerja asing kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja.
Sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun ini.
Suspek wanita warga Myanmar itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Empat wanita warga Myanmar pula ditahan kerana dipercayai melanggar Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua wanita warga Myanmar ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
JIM berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara. – MalaysiaGazette
















