KLUANG – UMNO Bahagian Kluang mengusulkan agar MCA meminjamkan kerusi Parlimen Kluang kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, cadangan yang dibawa melalui usul dalam Persidangan UMNO bahagian itu adalah satu strategi merampas kembali kawasan berkenaan daripada parti DAP dalam PRU-16.
Jelasnya, cadangan itu sebagai usaha memenangkan Barisan Nasional (BN) yang gagal dirampas kembali oleh MCA setelah gagal dipertahankan sejak PRU-13 dan bertahan menjadi milik DAP hingga hari ini.
“Hasrat untuk meminjam kerusi tradisi MCA ini selepas menilai keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 lalu yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Mengkibol.
“Menjelang PRU-16, UMNO perlu menilai semula keupayaan jentera parti-parti komponen BN, sekiranya rakan komponen lemah atau ketiadaan calon yang sesuai di kawasan tradisi mereka, peluang bertanding wajar diberikan kepada UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Muafakat Kampung Melayu di sini semalam.
Selain itu katanya, faktor demografi pengundi berbilang kaum berserta kebolehterimaan calon tempatan mesti dijadikan asas pertimbangan utama demi menjamin kemenangan mutlak BN.
Menurutnya, pada PRN Johor baru-baru ini, BN berjaya mengurangkan majoriti diperoleh Pakatan Harapan (PH) di DUN Mengkibol daripada 10,107 kepada 4,213 undi.
Tambahnya, BN juga mengukuhkan kemenangan di DUN Mahkota dengan lonjakan majoriti daripada 5,166 undi pada PRN 2022 kepada 16,645 undi pada PRN Johor lalu.
Md Jais yakin dominasi ‘gelombang biru’ yang membangkitkan kesedaran politik Melayu dan sebahagian besar masyarakat India berupaya mengubah keputusan dalam PRU-16 nanti seiring trend jurang jumlah pengundi Cina dan Melayu yang semakin mengecil di Parlimen Kluang.
Ujarnya, mengatur strategi dalam PRU-16 boleh diibaratkan menyusun atur ketika mahu berperang, jika sebelum ini kalah dengan senjata biasa adalah perlu ditukar jenis senjata baharu agar lebih ampuh dan mampu mengalahkan lawan.
“Berdasarkan latar belakang yang dinyatakan, UMNO Bahagian Kluang dengan penuh rasa tanggungjawab ingin mencadangkan agar kerusi Parlimen P152 Kluang dipinjamkan kepada calon UMNO pada PRU ke 16 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















