KUALA LUMPUR – Kemenangan besar gabungan Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga menyaksikan penampilan sulung penuh bergaya Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Wawasan mencatat prestasi cemerlang dengan memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandingi sekali gus menjadi antara faktor kejayaan gabungan BN – PN di negeri itu.
Ketua penerangannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dalam satu temu audio siar sebuah stesen radio swasta hari ini menjelaskan, strategi parti berkenaan bukanlah tertumpu kepada perpecahan undi Melayu semata-mata sebaliknya menyasarkan kelompok pengundi yang ternyata kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan (PH).
“Wawasan mahu ‘makan pasaran’ PKR, Amanah dan DAP. Kami bergerak ke arah kelompok tengah untuk memperkukuhkan PN. Kami menyasarkan undi daripada penyokong PH yang tidak lagi yakin dengan gabungan tersebut,” ujar beliau.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, keberkesanan model kerjasama BN – PN dalam PRN Negeri Sembilan dilihat sebagai formula yang berpotensi untuk direplikasi dalam pilihan raya umum (PRU) mahupun negeri akan datang.
Mengulas mengenai nasib Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (Bersatu) yang dilihat ‘terkubur’ dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, beliau menekankan penampilan Wawasan di gelanggang politik negara ternyata amat signifikan.
Walaupun merupakan parti baharu, kini parti itu diperkuatkan dengan penyertaan ramai pemimpin veteran yang sebelum ini bersama Bersatu.
“Kami bersedia berdepan dengan cabaran ini. Walaupun parti ini baharu, pengalaman dan ‘otai-otai’ veteran yang menyertai Wawasan memberikan kelebihan taktikal kepada kami,” katanya lagi.
Kejayaan Wawasan dalam PRN kali ini menandakan peralihan dinamika dalam landskap politik yang bermula di Pantai Barat di mana parti itu dilihat berjaya menembusi kelompok pengundi pertengahan yang sebelum ini sukar memberikan sokongan kepada blok pembangkang tradisional, katanya. – MalaysiaGazette
















