323 basikal pelbagai jenis yang disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 23 Julai lalu. - Foto DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 323 basikal pelbagai jenis dalam operasi khas terhadap pengusaha penyewaan basikal tanpa lesen di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, 23 Julai lalu.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan di sekitar Jalan Tembeling susulan kegiatan pengusaha yang mengendalikan perniagaan penyewaan basikal tanpa lesen, termasuk dikendalikan warga asing.

Menurut kenyataan itu, pengusaha terbabit turut dikesan meninggalkan basikal serta peralatan di tempat awam untuk digunakan pengunjung taman.

“DBKL turut mengesan beberapa pengusaha dengan sengaja meninggalkan basikal yang rosak dan tidak boleh digunakan di kawasan lapang, belakang premis perniagaan serta tandas awam tanpa membersihkan atau melupuskannya.

“Keadaan itu menyebabkan halangan di kawasan awam selain menimbulkan kacau ganggu terhadap persekitaran kawasan rekreasi,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan, pemeriksaan terhadap lima pengusaha membawa kepada tindakan sita dan pindah barangan membabitkan 323 basikal dewasa dan kanak-kanak yang didapati beroperasi tanpa lesen serta ditinggalkan di tempat awam.

Kesemua basikal yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan penyimpanan dan dokumentasi lanjut.

Tindakan penguatkuasaan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

DBKL berkata, operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast