Dua lelaki didapati bersalah menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat 3,450 kilogram tanpa lesen sah.

 

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM120,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas didapati bersalah menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat 3,450 kilogram tanpa lesen sah.

Mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang kawalan bersubsidi  iaitu LPG dalam keadaan menimbulkan syak munasabah menjalankan urus niaga LPG secara borong tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.

Kesalahan itu dilakukan pada 16 November 2023 di sebuah premis di Jalan Dengkil–Banting, Kampung Dengkil, Sepang, Selangor.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan, kedua-duanya disabitkan kesalahan di akhir pembelaan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut KPDN, kes tersebut terbongkar hasil serbuan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya selepas menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti penyelewengan LPG.

“Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati kedua-dua orang kena tuduh sedang memunggah tong-tong LPG daripada sebuah lori ke kawasan stor penyimpanan yang beroperasi tanpa lesen atau permit sah,” menurut kenyataan itu.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 3,450 kilogram LPG membabitkan tong berisi dan tong kosong pelbagai jenama, sebuah lori, dokumen penghantaran serta telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut.

Siasatan mendapati premis berkenaan dan kedua-dua OKT gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah untuk menjalankan urusan berkaitan barang kawalan berjadual itu.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi serta mengemukakan 89 barang kes bagi membuktikan pertuduhan terhadap kedua-dua OKT.

Mahkamah kemudian mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebelum menjatuhkan hukuman denda RM120,000 terhadap setiap seorang atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun gagal menjelaskan denda berkenaan dan telah dipenjarakan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan sebuah lori serta hasil jualan berjumlah RM13,127.50 dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

KPDN menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan barang kawalan diurus dan diedarkan mengikut peruntukan undang-undang, selain memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati golongan yang layak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkannya melalui saluran aduan rasmi KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast