Kanser serviks bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita berusia. Ia sering bermula secara senyap. Kegagalan menjalani saringan, menganggap pendarahan tidak teratur sebagai kesan stres, atau membiarkan perubahan luar biasa pada kitaran haid.

Bagi kebanyakan wanita Malaysia, tanda-tanda amaran awal inilah yang sering diabaikan sehinggalah penyakit tersebut melarat.

Dahulu penyakit ini dianggap sebagai kanser yang dihidapi oleh wanita di usia emas.  Walau bagaimanapun, data terkini memberi realiti yang berbeza. Kanser serviks kini merupakan kanser keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia dan yang ketiga antara wanita Malaysia.

Dari jumlah ini, lebih separuh daripada kes berlaku pada wanita berusia 40 hingga 59 tahun. Lebih membimbangkan, pakar ginekologi dan pakar perubatan kecemasan melihat peningkatan kepada jumlah pesakit yang lebih muda, ada berusia lewat 20-an didiagnosis pada tahap lanjut.

“Kanser serviks boleh dicegah, namun ramai wanita mula mendapatkan rawatan pada tahap yang sudah terlewat. Kebanyakan pesakit saya yang muda menghidap kanser serviks tidak pernah melakukan ujian pap smear sebelum didiagnosis.

Mereka tidak menyangka bahawa mereka juga berisiko,” kata Pakar Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Dr Andi Anggeriana Andi Asri.

Mengapa Wanita Muda Didagnosis?

Pakar kesihatan menyatakan bahawa wanita muda semakin banyak didiagnosis dengan kanser serviks disebabkan oleh kelewatan saringan dan kesedaran yang rendah terhadap risiko-risiko awal.

Wanita dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an sering mengutamakan pendidikan, kerjaya, dan komitmen keluarga berbanding pemeriksaan kesihatan rutin. Mereka yang lain pula mengelakkan saringan akibat rasa tidak selesa atau stigma yang menyelubungi pemeriksaan ginekologi

Kanser serviks terutamanya disebabkan oleh virus papilloma manusia (HPV), virus biasa yang berjangkit melalui sentuhan kulit ke kulit, termasuk aktiviti seksual. Walaupun kebanyakan jangkitan HPV pulih secara semula jadi, strain berisiko tinggi seperti HPV 16 dan 18 boleh menyebabkan perubahan selular secara senyap yang mungkin berkembang menjadi kanser jika tidak dikesan.

“Terdapat tanggapan salah bahawa kanser serviks hanya menyerang wanita berusia atau yang sudah berkahwin.

“Hakikatnya, virus HPV, yang menjadi punca kepada lebih 90% kes kanser serviks, boleh dijangkiti seawal hubungan seksual pertama, walaupun hanya dengan seorang pasangan,” kata beliau.

Di Malaysia, lebih daripada 90% kes kanser serviks dikaitkan dengan HPV. Data KKM menunjukkan bahawa 6 daripada 10 wanita masih tidak menjalani ujian Pap smear dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Ini mengakibatkan banyak kes gagal dikesan pada peringkat awal yang sepatutnya boleh dicegah.

Perspektif Doktor Kecemasan: Realiti yang Membimbangkan

Menurut Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Dr Mohd Khalis Abdul Rahim, terdapat pesakit yang hanya ke bilik kecemasan apabila simptom mereka sudah melarat. Beliau berkata tanda-tanda amaran selalunya tidak diendahkan sehinggalah ia mencapai tahap yang tidak lagi boleh dibiarkan.

“Kami sering melihat wanita datang dengan pendarahan vagina yang tidak normal selepas aktiviti seksual, pada waktu selain tempoh haid, atau menopaus. Mereka menyangka ia hanyalah kitaran haid yang lebih berat. Tetapi, pada masa itu, kanser mungkin sudah berada di tahap lanjut,” katanya.

Pendarahan di luar kitaran haid, keputihan berterusan yang berbau, sakit pelvis, atau pendarahan selepas aktiviti seksual seharusnya memerlukan pemeriksaan doktor segera.

“Jika simptom ini berlarutan dalam satu atau dua kitaran, jangan tunggu. Segera lakukan pemeriksaan,” nasihat beliau.

Teknologi Bukan Pengganti Doktor

Aplikasi penjejak haid dan jam tangan pintar kini menjadi alat popular untuk memantau kitaran haid dan kesihatan secara umum. Namun, kedua-dua doktor mengingatkan bahawa alatan ini tidak seharusnya dijadikan pengganti untuk diagnosis perubatan.

Walaupun teknologi ini dapat membantu mengesan perubahan seperti kitaran haid yang tidak teratur atau keletihan yang berterusan, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, bukannya menggantikan saringan klinikal.

“Aplikasi boleh membantu mengenal pasti kelainan, tetapi ia tidak dapat memberitahu apa yang tidak kena. Ujian Pap smear atau ujian HPV tetap menjadi ‘gold standard’ untuk mengesan keabnormalan serviks pada peringkat awal,” kata Dr Andi.

Belum Terlambat Untuk Vaksin HPV

Vaksin HPV adalah salah satu cara paling berkesan untuk mencegah kanser serviks. Program sekolah di Malaysia menawarkannya secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.  Walau bagaimanapun kadar pengambilan remaja yang lebih tua dan dewasa masih tidak konsisten. “Walaupun anda berada di usia 20-an atau awal 30-an, vaksin ini masih boleh mengurangkan risiko anda. Ia tidak melindungi daripada semua jenis HPV, tetapi ia adalah lapisan perlindungan yang kuat,” kata Dr Andi.

Pengesanan Awal Menyelamatkan Kesuburan dan Kualiti Hidup

Pengesanan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah ia juga dapat membantu mengekalkan kesuburan. Sebaliknya, diagnosis pada tahap lewat sering memerlukan kemoterapi, radiasi, atau pembedahan yang kompleks yang mempunyai kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan emosi.

“Jika kita mengesannya pada tahap awal, kita mungkin tidak perlu membuang rahim. Ada sesetengah wanita malah boleh hamil secara normal selepas itu,” jelas Dr Andi.

Soalan-soalan yang Perlu Ditanya Setiap Wanita

Dr Andi dan Dr Khalis menyarankan wanita bertanya kepada diri sendiri tiga soalan mudah jika mereka menyedari perubahan dalam kitaran mereka:

Adakah pendarahan ini berlaku di luar kitaran biasa saya? Adakah ia telah berlaku lebih daripada sekali? Adakah saya akan risau jika perkara ini berlaku kepada kakak, anak perempuan, atau rakan saya?

“Jika jawapannya ‘ya’ kepada mana-mana soalan ini, jangan tunggu. Walaupun ia mungkin bukan bukan sesuatu yang serius, pemeriksaan ini akan memberikan anda ketenangan fikiran,” kata Dr Khalis.

“Jika anda berasa tidak selesa dengan seorang doktor, carilah doktor lain. Kesihatan anda terlalu penting untuk diabaikan,” tambah Dr Andi.

Kanser serviks adalah salah satu daripada segelintir kanser yang sangat boleh dicegah.

Melalui saringan berkala, vaksinasi HPV, dan kepekaan terhadap simptom awal, wanita mampu mengambil langkah proaktif dalam melindungi kesihatan mereka.

“Jangan abaikan badan anda. Ramai wanita yang mengalami pendarahan tidak normal sebenarnya bebas daripada kanser, tetapi anda hanya akan tahu melalui pemeriksaan. Kanser serviks tidak akan menunggu anda, maka janganlah anda bertangguh lagi,” tegas Dr Andi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast