Lelaki warga Myanmar yang berjaya dicekup selepas cuba melarikan diri dalam Ops Kutip dan Ops Sapu, semalam. - Foto JIM Perlis

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warga Myanmar melarikan diri ketika diperiksa pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis di Terminal Feri Kuala Perlis berakhir dengan penahanan selepas berjaya dipintas dalam Ops Kutip dan Ops Sapu, semalam.

JIM Perlis memaklumkan, kejadian berlaku ketika pegawai menjalankan enam operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Perlis, Arau dan Kangar bagi mengesan individu yang disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, tindakan pantas pegawai berjaya menggagalkan cubaan lelaki warga Myanmar itu sebelum dia diberkas untuk siasatan lanjut.

“Sepanjang enam operasi tersebut, seramai 27 individu telah diperiksa melibatkan enam warganegara Malaysia, 10 warga Myanmar, lapan warga Bangladesh, seorang warga Nepal, seorang warga Indonesia dan seorang warga Thailand.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan dua warga asing iaitu seorang lelaki warga Myanmar kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga Bangladesh di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM Perlis berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengesan individu yang melanggar undang-undang imigresen serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) atau aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast