Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Gambar daripada Facebook Kesultanan Pahang

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegaskan setiap inci tanah negeri itu wajib dipertahankan daripada penerokaan dan pencerobohan haram.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, titah baginda  tepat pada masanya memandangkan isu pencerobohan tanah semakin membimbangkan dan memberi pelbagai kesan kepada negeri serta rakyat.

Menurut beliau, tanah milik kerajaan merupakan aset yang perlu dipelihara kerana setiap bentuk penerokaan tanpa kelulusan bukan sahaja melanggar undang-undang malah menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan.

“Apabila tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram, negeri kehilangan hasil yang sepatutnya diperoleh menerusi cukai, premium tanah dan pelbagai bayaran lain. Kerugian ini akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.

“Sebab itu kami menyokong penuh titah tuanku supaya setiap inci tanah negeri dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan.

”Khazanah negeri tidak boleh dibiarkan dieksploitasi oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo.

Daniel berkata, isu pencerobohan tanah tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut menjejaskan imej Pahang selain boleh mengundang pelbagai kegiatan lain seperti penerokaan hutan dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.

Katanya, kerajaan negeri bersama agensi penguat kuasa perlu memperhebat operasi pemantauan di kawasan yang dikenal pasti berisiko serta mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu atau sindiket yang dikesan menceroboh tanah kerajaan.

“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Sesiapa yang menceroboh tanah kerajaan perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.

“Penguatkuasaan juga tidak boleh bersifat bermusim. Ia perlu dilakukan secara berterusan supaya kegiatan pencerobohan dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya hukuman terhadap penceroboh tanah haram diperketatkan dengan pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

“Kami berpandangan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda sehingga RM1 juta wajar dipertimbangkan bagi kesalahan serius, terutama membabitkan sindiket atau pencerobohan berskala besar.

“Hukuman yang lebih tegas akan memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui penerokaan tanah secara haram,” katanya.

Daniel turut menggesa orang ramai menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan tanah kerajaan.

Katanya, usaha mempertahankan setiap inci tanah negeri bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan khazanah negeri terus dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.

Terdahulu, Sultan Pahang bertitah setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada penerokaan dan pencerobohan haram serta menegaskan tiada mana-mana pihak boleh sewenang-wenangnya menguasai tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast