KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan kelemahan sistem keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki membawa dadah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, siasatan itu perlu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Malaysia Airports, syarikat penerbangan berkaitan serta pakar keselamatan penerbangan.
Menurut beliau, tumpuan siasatan bukan sekadar menentukan agensi yang bertanggungjawab, sebaliknya mengenal pasti sama ada wujud kelemahan teknologi, kecuaian manusia atau unsur jenayah terancang.
“Jika semua prosedur dipatuhi tetapi ancaman masih gagal dikesan maka prosedur tersebut perlu dinilai semula secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan AKPS bahawa juruterbang terbabit telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di KLIA, manakala pemeriksaan bagasi berada di bawah tanggungjawab Aviation Security (AVSEC).
Jais berkata, orang ramai juga tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi terhadap syarikat penerbangan atau individu yang terlibat sehingga siasatan selesai.
Katanya, prinsip keadilan dan proses undang-undang perlu dihormati, selain menegaskan kes berkenaan bukan hanya melibatkan seorang juruterbang tetapi turut memberi kesan terhadap kredibiliti sistem keselamatan negara serta reputasi industri penerbangan Malaysia.
“Integriti bukan diukur apabila sistem berfungsi dalam keadaan biasa, tetapi apabila sistem berjaya menghalang jenayah daripada melepasi setiap lapisan kawalan. Jika terdapat kelemahan, ia mesti diperbetulkan dengan segera, telus dan tanpa kompromi,” katanya. – MalaysiaGazette
















