GEORGE TOWN – Dua pelancong warga Sri Lanka cedera selepas terkena runtuhan rasuk kayu serta batu daripada sebuah rumah kedai di Lebuh Armenian di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 66 tahun dan wanita berumur 55 tahun itu dikatakan sedang berjalan bersama ahli keluarga mereka di hadapan kedai yang menjual barangan cenderamata.
Bagaimanapun, rasuk batu dan kayu di bahagian kaki lima kedai itu tiba-tiba runtuh sebelum menimpa pasangan terbabit manakala ahli keluarga yang lain terselamat.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kedua-dua mangsa itu dijadualkan pulang ke negara asal bersama keluarga mereka esok.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, insiden itu membabitkan runtuhan batu dan rasuk kayu di tingkat satu bangunan berkenaan.
“Dua mangsa cedera dalam insiden itu dan anggota bomba masih menjalankan operasi ketika ini bagi mengelakkan kejadian runtuhan berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
















