Logo Angkatan Tentera Darat Malaysia

 

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan bekas anggotanya Staf Sarjan Vegeneswaran a/l Kaneson masih berstatus askar yang sedang berkhidmat.

TDM melalui Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat turut menolak dakwaan bahawa TDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kerajaan mengingkari keputusan Mahkamah Rayuan.

Mengulas video yang tular di media sosial di aplikasi TikTok Nambikkai pada 23 Julai lalu, TDM menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak berasas.

Menurut kenyataan itu, keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak membatalkan sabitan tatatertib terhadap bekas anggota berkenaan yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine melalui ujian saringan yang disahkan Jabatan Patologi Hospital Kepala Batas.

“Susulan keputusan tersebut, TDM telah mengambil tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 dengan menamatkan perkhidmatan beliau secara biasa iaitu selepas tempoh perkhidmatan sepenuh masa selama 18 tahun.

“Semua tunggakan gaji, elaun dan faedah yang layak telah dibayar serta diterima oleh bekas anggota tanpa sebarang bantahan atau pertikaian pada ketika itu,” menurut kenyataan tersebut.

TDM turut menjelaskan dakwaan bekas anggota berkenaan masih mempunyai status anggota Tentera Darat kerana masih memegang kad MyTentera adalah tidak benar.

Menurutnya, status seseorang anggota ditentukan berdasarkan undang-undang dan rekod perkhidmatan, bukannya pemilikan kad pengenalan tentera.

“Kad MyTentera tersebut masih berada dalam simpanan kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan oleh beliau,” katanya.

Dalam pada itu, TDM menegaskan, mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatan tidak lagi berhak mengemukakan dirinya sebagai anggota tentera darat.

Tambahnya, penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam tentera bagi menggambarkan seseorang masih berstatus anggota yang sedang berkhidmat boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan tertakluk kepada siasatan serta tindakan undang-undang pihak berkuasa.

TDM turut menegaskan pihaknya sentiasa menghormati keputusan mahkamah serta melaksanakan semua tindakan berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi ATM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast