KUALA LUMPUR – Citizen-Led Accountability Network (CLAN) menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan pendedahan rakaman CCTV berkaitan insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
CLAN mahu rakaman itu dideahkan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang serta tanpa menjejaskan siasatan, keselamatan negara atau hak privasi individu.
Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan akauntabiliti dan maruah rakyat, CLAN menyuarakan persoalan yang sedang dibangkitkan oleh orang awam di seluruh negara.
“Rakyat tidak meminta layanan istimewa. Rakyat meminta penjelasan yang telus.
“Apabila sesuatu insiden melibatkan kepentingan awam menjadi perhatian nasional, kepercayaan terhadap institusi tidak dibina melalui gesaan supaya orang ramai ‘percaya’”. Ia dibina melalui fakta, ketelusan dan kesediaan menjawab persoalan awam,” katanya dalam kenyataan.
CLAN percaya ketelusan yang bertanggungjawab adalah benteng terbaik untuk menangkis fitnah dan disinformasi.
“Sekiranya terdapat bahagian rakaman yang sensitif atau boleh menjejaskan siasatan, pihak berkuasa boleh mempertimbangkan kaedah yang sesuai seperti menyunting bahagian tertentu atau hanya mendedahkan segmen yang relevan,” katanya.
Sehubungan itu, CLAN menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan pendedahan rakaman CCTV berkaitan insiden tersebut sekiranya ia boleh dilakukan tanpa menjejaskan siasatan atau keselamatan.
Penjelasan rasmi yang jelas dan konsisten diberikan kepada orang awam bagi mengelakkan kekeliruan, semua pihak mengelakkan penyebaran dakwaan yang belum disahkan serta tidak menjatuhkan hukuman di media sosial sebelum fakta lengkap diperoleh.
“Institusi awam perlu terus mengutamakan ketelusan sebagai asas untuk memulihkan dan mengekalkan kepercayaan rakyat,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















