Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kabinet mengarahkan kawalan keselamatan di lapangan terbang diperketat, termasuk menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pasukan keselamatan penerbangan susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Jakarta, Indonesia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) ketika ini dikendalikan oleh polis bantuan.

Menurut beliau, langkah itu merupakan antara beberapa langkah penambahbaikan yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengangkutan hari ini dan perlu dilaksanakan segera susulan insiden berkenaan.

“Pertama, yang melibatkan aviation security perlu ditempatkan anggota PDRM kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah daripada kalangan polis bantuan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata, Malaysia Aviation Group (MAG) turut diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan saringan kesihatan membabitkan juruterbang serta pembantu juruterbang bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Beliau berkata, PDRM dan KDN juga diarahkan meneliti sebarang kelemahan atau kelompangan dalam sistem keselamatan yang mungkin boleh dieksploitasi, sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan dengan kadar segera.

Mengulas cadangan penubuhan pasukan khas bagi menangani isu dadah susulan insiden berkenaan, Fahmi berkata, Jemaah Menteri setakat ini hanya menerima laporan lisan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, kerajaan memerlukan laporan penuh mengenai kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.

“Kita akan teliti tindakan-tindakan susulan selain daripada apa yang saya sebutkan mengenai penempatan anggota polis bersama aviation security selepas menerima laporan penuh.

“Kita perlu tahu siapa lagi yang kemungkinan terlibat. Mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu kita ambil bagi memastikan semua kelompangan dapat ditutup dengan segera,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan hari ini berkata, pihaknya mengenal pasti seorang kakitangan beruniform yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyiasat punca dadah dibawa oleh seorang pembantu juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan di sana.

Beliau berkata, kakitangan berusia 30-an itu terlibat dalam prosedur saringan keselamatan di KLIA.

Katanya, lelaki terbabit melepasi saringan keselamatan pada laluan khas bagi kakitangan yang mempunyai kaedah pemeriksaan sama seperti dilalui penumpang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast