Kedua-dua suspek bersama barang kes kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan Pasukan Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di Shah Alam semalam.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua suspek ditahan hasil tindakan pantas anggota selepas menerima maklumat mengenai pengesanan track occupied di lokasi berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati seorang suspek berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang memotong kabel di laluan landasan.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota namun berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang ditemui sedang bersembunyi berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Menurut KTMB, turut dirampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk alat pemotong kabel, playar, gunting dan pisau.

Pemeriksaan oleh wakil Bahagian Semboyan KTMB mengesahkan kabel berukuran 2.5 milimeter (mm) di lokasi itu telah dipotong.

Kedua-dua suspek bersama barang kes kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

KTMB berkata, perbuatan menceroboh kawasan landasan serta merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Sehubungan itu, Pasukan Polis Bantuan KTMB akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan keselamatan bagi melindungi infrastruktur landasan serta memastikan kelancaran operasi tren.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam atau menyalurkan maklumat kepada PDRM untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast