KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merayu orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung kes kematian seorang guru di Hulu Selangor, sebaliknya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara teliti serta menghormati privasi keluarga mendiang.
Tulisnya menerusi hantaran di Facebook selepas menziarahi dan menyantuni keluarga mendiang guru SJKT Ladang Kerling yang meninggal dunia baru-baru ini.
Menurut Fadhlina, beliau mendengar sendiri luahan serta kegusaran keluarga yang sedang melalui detik paling sukar dalam kehidupan mereka.
“Saya faham ramai di luar sana mahukan jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi ketika siasatan masih berjalan, keluarga ini perlukan ruang, bukan spekulasi.
“Saya sekali lagi merayu agar kita hormati privasi mereka. Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan teliti,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggerakkan segala usaha yang termampu bagi memastikan keluarga mendiang serta warga sekolah yang terkesan menerima sokongan terbaik.
Katanya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad turut hadir ke SJKT Ladang Kerling bagi bertemu pihak pentadbir dan guru-guru untuk memastikan bantuan kebajikan serta sokongan psikososial disalurkan kepada mereka yang terkesan.
“Hari ini saya pula hadir ke mari untuk memastikan keluarga ini didengari dan tidak dibiarkan melalui waktu sukar ini sendirian.
“Kita mahu keluarga diberikan ruang untuk berduka, warga sekolah mendapat sokongan yang diperlukan dan apa juga tindakan selepas ini dibuat berdasarkan fakta hasil siasatan, bukan andaian di media sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan seluruh warga pendidikan supaya lebih peka terhadap kesejahteraan emosi rakan sekerja dengan meluangkan masa bertanya khabar dan mendengar masalah yang dihadapi.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah seseorang. Tetapi kita boleh pastikan mereka tidak perlu menghadapinya seorang diri.
“Kita jaga satu sama lain,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















