KUALA LUMPUR – Seramai 81 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah di sebuah tapak pembinaan di Kuala Kedah, hasil risikan dan maklumat awam.
Operasi bermula kira-kira jam 9.50 pagi itu disertai 19 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kedah yang memeriksa 127 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Hasil pemeriksaan, seramai 73 lelaki dan lapan wanita ditahan, membabitkan 42 warga Bangladesh, 26 warga Indonesia, 10 warga Myanmar, seorang warga Pakistan dan dua warga India.
Menurut JIM Kedah, kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki serta berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas.

Dalam operasi sama, satu Saman Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
JIM Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat tanpa kompromi bagi membanteras kehadiran PATI, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang imigresen. – MalaysiaGazette
















