KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penggubalan undang-undang baharu yang mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual itu dibentangkan bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil sebagai tindakan susulan bagi menangani implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen terdahulu akibat isu bidang kuasa perundangan negeri.

Kenyataan media pembentangan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kelantan) 2026

“Sebuah Jawatankuasa Pindaan yang dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah telah ditubuhkan sejak pertengahan 2024 bagi meneliti keseluruhan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan selain membuat kajian menyeluruh.

“Proses kajian dan penyediaan draf RUU tersebut turut dihadapkan di hadapan Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bertanggungjawab menentukan persoalan fatwa dan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pendekatan penggubalan ini dibuat dalam ruang lingkup yang dibenarkan di bawah Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan, dengan menumpukan kepada kesalahan yang bersifat keagamaan semata-mata merangkumi aspek akidah, kesucian agama Islam atau institusi-institusinya, serta moral dalam Islam.

“Penggubalan RUU berkenaan berasaskan prinsip pith and substance dengan memberi penekanan kepada kewajipan agama (taklifan) yang diperintahkan syarak, manakala susunan kesalahan disusun mengikut kerangka Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

“Terdapat juga beberapa peruntukan baharu serta ciri pembaharuan yang diperkenalkan melalui RUU ini, sekali gus membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Tambahnya, butiran penuh mengenai rang undang-undang berkenaan akan dijelaskan secara terperinci semasa persidangan Dewan Undangan Negeri dan berharap perkara ini mendapat sokongan padu Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan seluruh umat Islam demi memartabatkan perundangan syariah di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast