KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail melahirkan rasa kecewa berikutan tindakan sekatan akses kepada sistem MyKhas yang dikenakan terhadap Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang sejak 29 Julai lalu.
Menerusi satu video berdurasi tiga minit empat saat yang dimuat naik di Facebooknya, Rodziah berkata, tindakan tersebut secara langsung menjejaskan penyaluran peruntukan kawasan serta pelaksanaan pelbagai projek mesra rakyat yang selama ini menjadi nadi bantuan utama penduduk di kawasan berkenaan.
“Yang menjadi mangsa bukan saya tetapi ia memberi impak terus kepada golongan yang memerlukan termasuk ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar, pesakit kronik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat yang telah mengemukakan permohonan sejak Jun lalu.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak pernah menentang parti sepanjang 28 tahun ini.
“Saya merupakan blok penyokong kerajaan yang menyokong penuh dasar Kerajaan Perpaduan, malah saya turut menjalankan amanah sebagai ahli Jawatankuasa Parlimen dan beberapa kumpulan rentas parti dengan penuh komitmen,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang masih belum menerima sebarang penjelasan rasmi berhubung sekatan berkenaan, meskipun surat rasmi telah dikemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri.
“Sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang penjelasan rasmi berkenaan penarikan peruntukan ini. Saya telah pun menghantar surat secara rasmi kepada Pejabat Perdana Menteri dan juga mohon penjelasan sebelum itu tapi belum ada apa-apa penjelasan.
“Jadi jika ada isu teknikal atau apa pun, saya minta pencerahan untuk memudahkan penjelasan saya semula kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rodziah berkata, tindakan menyekat itu seolah-olah mengamalkan pilih kasih.
“Enam ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan menerima peruntukan penuh.
“Ada juga ahli Kabinet sendiri yang bebas mengkritik kerajaan tanpa dikenakan apa-apa sekatan namun apa pun yang dilakukan terhadap saya, ianya tidak akan pernah melemahkan semangat saya untuk terus berkhidmat,” tegasnya.
Bagi memastikan nasib rakyat di kawasannya terus terbela, Rodziah mengumumkan bakal melancarkan kempen Projek Amal Rakyat.
“Apa pun yang dilakukan terhadap saya, ia tidak akan melemahkan semangat saya untuk berkhidmat. Jadi Jumaat ini, saya akan melancarkan kempen Projek Amal Rakyat iaitu satu inisiatif gotong-royong bersama rakyat, korporat, NGO dan GLC serta individu-individu untuk memastikan bantuan kepada rakyat Ampang diteruskan secara telus dan berintegriti.
“Nantikan pengumuman ini dalam masa yang terdekat.
“Akhirnya saya tegaskan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang akan terus dibuka, khidmat rakyat akan terus diperkasa, saya akan terus mempertahankan prinsip reformasi, akauntabiliti, bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya,” katanya. – MalaysiaGazette
















