KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan (NSFC) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas segala jasa bakti, sumbangan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi NSFC.
Kelab Liga Super itu berkata, pihak pengurusan telah menerima surat peletakan jawatan daripada Aminuddin sebagai Pengerusi NSFC dari Jun 2025 sehingga penghujung Julai 2026.
“Baru-baru ini, pihak pengurusan NSFC telah pun menerima surat peletakan jawatan daripada YB Dato Seri (Aminuddin). YB Dato Seri telah menabur bakti sebagai Pengerusi NSFC dari Jun 2025 sehingga penghujung Julai 2026.
“Jawatan tersebut kini dipangku oleh Presiden PBNS merangkap Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri sehingga pengumuman selanjutnya.
“Ikhlas daripada barisan pengurusan, kejurulatihan, dan para pemain Negeri Sembilan FC,” tulis kelab itu di media sosial.
Sebagai rekod, skuad Hobin Jang Hobin menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Super musim lalu selain mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, Aminuddin tewas dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, manakala kerajaan negeri turut bertukar kepada gabungan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
















