KUALA LUMPUR — Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Selangor menyambut baik kelulusan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dilihat mampu memperkukuh institusi Islam serta memantapkan kedudukan Mahkamah Syariah di negeri itu.
Tiga RUU berkenaan ialah RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026, RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 dan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor itu memberikan pengiktirafan jelas bahawa agama Islam di Selangor berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, pindaan tersebut selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja serta keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
“Pindaan ini bertujuan mengukuhkan pemakaian pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai rujukan dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Negeri Selangor,” katanya yang mewakili Ahli-Ahli Dewan Negeri Bersatu Selangor menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, pindaan berkenaan turut mewujudkan bab baharu bagi memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman Syariah Negeri Selangor yang diiktiraf dalam perlembagaan negeri.
Langkah itu, ujarnya, membolehkan Mahkamah Syariah tidak lagi dilihat sekadar sebagai institusi yang diwujudkan melalui undang-undang pentadbiran agama semata-mata.
Tambahnya, pindaan tersebut turut memperuntukkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.
Menurut Azmin, langkah itu penting bagi memastikan sistem keadilan syariah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, berkesan serta selaras dengan perkembangan semasa.
Katanya, RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Negeri, termasuk sokongan Ahli Dewan Negeri bukan Islam.
Mohamed Azmin berkata, perkembangan itu membuktikan penetapan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor tidak menjejaskan hak atau kedudukan penganut agama lain seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 sebagai pembaharuan institusi yang signifikan bagi memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan berintegriti.
“Sokongan Bersatu mencerminkan iltizam bersama untuk membina sebuah sistem penyampaian keadilan syariah yang lebih mantap, moden dan berwibawa demi kepentingan umat Islam serta kemajuan negeri Selangor,” katanya.
Bagi RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pula, Bersatu menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan.
Bersatu berpendirian undang-undang perlu berkembang seiring keperluan pentadbiran dan perkembangan semasa supaya kekal relevan, responsif serta mampu menjadi asas kepada pentadbiran agama Islam yang lebih mantap.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang mengambil tanggungjawab mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Sesi berkenaan membabitkan pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pentadbiran agama Islam dan perundangan Syariah.
“Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi menjamin kestabilan serta kemakmuran negeri yang mempunyai masyarakat majmuk.
“Kami akan menjunjung titah perintah dan titah nasihat Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















