eMAS 7, EV
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya kerajaan mengenakan cukai khas ke atas pembelian kenderaan elektrik (EV) bagi membiayai pembinaan infrastruktur pengecasan disifatkan langkah songsang yang boleh menjejaskan agenda mobiliti hijau negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sekiranya benar cadangan ini sedang dipertimbangkan, ia juga merupakan pendekatan yang bercanggah dengan matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan beban subsidi bahan api dalam jangka panjang.

Menurutnya, apabila seorang pengguna beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV, kerajaan secara asasnya mengurangkan komitmen subsidi petrol bagi pengguna tersebut.

Datuk Ahmad Amzad Hashim

Tambah beliau, jika diambil kira had subsidi semasa, nilai penjimatan kerajaan boleh mencecah sekitar RM6,500 setahun bagi setiap pengguna.

“Dalam tempoh sedekad, jumlah penjimatan ini boleh mencecah berbilion ringgit.

“Hakikatnya, setiap EV bukanlah satu beban kepada kerajaan, bahkan merupakan aset fiskal yang membantu mengurangkan liabiliti subsidi petrol negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan mengenakan caj ke atas setiap EV yang dijual di negara ini bagi mewujudkan dana khas untuk memperluas rangkaian pengecas awam.

Langkah itu bertujuan memastikan pertumbuhan penggunaan EV seiring dengan penyediaan kemudahan pengecasan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata cadangan itu sedang dibincangkan bagi memastikan pembangunan ekosistem EV mampu memenuhi peningkatan permintaan pengguna.

Sementara itu, Ahmad Amzad menambah, langkah mengenakan cukai tambahan akan menyebabkan kenaikan harga EV; mengurangkan permintaan pengguna dan melambatkan kadar peralihan kepada mobiliti hijau.

Katanya, ia juga akan menyebabkan pelabur swasta kurang berminat membangunkan rangkaian pengecas kerana bilangan pengguna berkembang dengan lebih perlahan.

Sebaliknya, tambah beliau, sekiranya kerajaan mahu mempercepat pembinaan rangkaian pengecas, terdapat pendekatan yang jauh lebih baik daripada mengenakan cukai baharu.

Antaranya, tambah beliau, dengan memberi geran padanan atau insentif kepada syarikat swasta untuk membina charger di kawasan yang masih kurang liputan dan menawarkan potongan cukai kepada pelabur infrastruktur pengecasan.

Selain itu, katanya, menggunakan sebahagian penjimatan subsidi petrol sebagai dana pembangunan infrastruktur EV dan menerbitkan Green Bond atau Sukuk Hijau khusus bagi pembiayaan infrastruktur mobiliti hijau.

“Pendekatan ini jauh lebih selari dengan dasar peralihan tenaga negara berbanding mengenakan beban tambahan kepada pengguna EV,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast