SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan kedudukan agama Islam di Selangor terancam sejak negeri itu ditadbir Pakatan Harapan (PH).
ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan institusi agama Islam di Selangor diperkukuh dan diurus dengan baik.
Menurut beliau, perkara itu terbukti menerusi pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkemas tadbir urus hal ehwal Islam di negeri berkenaan.
“Ini menunjukkan keseriusan, komitmen dan kesungguhan kerajaan Negeri Selangor yang tidak mengetepikan urusan umat Islam.
“Saya boleh menegaskan bahawa Islam tidak terancam di negeri Selangor seperti yang tersebar luas beberapa tahun lalu ataupun ketika berlakunya kempen-kempen pilihan raya,” katanya ketika membahaskan pindaan enakmen berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, kebimbangan yang timbul sebelum ini berpunca daripada penyebaran propaganda, maklumat palsu dan fitnah terutama ketika musim pilihan raya.
“Tidak mungkin berlaku Islam terancam, Melayu terancam atau ada pihak lain yang akan menguasai agama Islam di Malaysia mahupun di Negeri Selangor yang kita cintai ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mariam turut menafikan pindaan berkenaan bertujuan memperluaskan kuasa mana-mana pihak secara tidak terkawal, sebaliknya bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam dilaksanakan dengan lebih tersusun, telus dan profesional.
“Empat hari kita bahas tentang pengurusan umat Islam di Selangor. Ini adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta berada di bawah payung Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang memayungi urusan agama Islam negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat Islam di Selangor supaya tidak bimbang terhadap kedudukan agama Islam di negeri berkenaan.
Selain itu, Mariam menjelaskan pindaan tersebut akan membantu memperkemas peranan setiap institusi agama Islam supaya pentadbiran hal ehwal Islam dapat dilaksanakan mengikut keperluan semasa masyarakat.
“Saya percaya rang undang-undang ini akan memperkukuhkan institusi agama Islam di Selangor selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor serta aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa tadbir urus hal ehwal Islam,” katanya.-MalaysiaGazette
















