Kasthuri Patto

KUALA LUMPUR – DAP menggesa kerajaan mempertingkat pemeriksaan terhadap penumpang yang meninggalkan negara bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah, selain membantu pihak berkuasa mengesan sumber bekalan serta sindiket yang beroperasi di Malaysia.

Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, penahanan pengedar dan keldai dadah sebelum mereka berlepas dari Malaysia mampu memberi petunjuk penting kepada pihak berkuasa untuk menjejaki rangkaian sindiket yang membekalkan dadah sama ada di dalam atau luar negara.

Beliau berkata, kejayaan Ops Khas KLIA yang dijalankan antara 27 hingga 31 Julai lalu membuktikan penguatkuasaan di pintu keluar negara mampu memberi impak besar dalam usaha membanteras jenayah dadah.

Katanya, operasi itu membawa kepada penahanan 13 individu yang disyaki menjadi keldai dadah dalam sembilan kes berasingan membabitkan lima warga Malaysia dan lapan warga asing berusia antara 18 hingga 53 tahun.

“Sebanyak 260.08 kilogram ganja dan 1.01 kilogram kokain bernilai kira-kira RM21.26 juta turut dirampas.

“Namun persoalan yang perlu diberi perhatian ialah berapa ramai lagi yang berjaya melepasi sistem pengawasan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasthuri berkata, beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia dan Singapura kerana membawa dadah menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperkukuh sistem pemeriksaan di pintu keluar negara.

Menurutnya, tanggapan bahawa pemeriksaan ketat hanya perlu dilakukan terhadap individu yang memasuki sesebuah negara adalah tidak tepat kerana banyak negara turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang yang keluar dari negara masing-masing.

Beliau berkata, pengesanan awal terhadap individu membawa dadah atau barangan larangan lain bukan sahaja dapat menghalang penyeludupan, malah membantu pihak berkuasa menjejaki dalang dan rangkaian sindiket yang beroperasi.

Kasthuri turut menyifatkan perdagangan dadah sebagai jenayah ekonomi yang mengakibatkan kerugian besar kepada negara, dengan nilai rampasan hampir RM1 bilion direkodkan sehingga Mac tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menambah peruntukan bagi memperkukuh penguatkuasaan melalui penggunaan sistem pengimejan sinar-X dan CT yang lebih canggih, unit anjing pengesan K9.

Juga operasi berasaskan risikan serta penganalisis tingkah laku penumpang di lapangan terbang.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan Pemuda MCA yang mengaitkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan kes seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana didakwa menyeludup dadah.

Menurutnya, tindakan itu bersifat oportunis dan tidak membantu usaha mencari penyelesaian terhadap isu penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast