Akmal Nasrullah Mohd Nasir

PETALING JAYA – Persidangan KL20 2026 akan berlangsung dari September hingga November ini menerusi siri penganjuran di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan setiap lokasi membawa fokus pembangunan yang berbeza mengikut kekuatan ekonomi masing-masing.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasri berkata, beralih daripada format berskala besar yang tertumpu di Kuala Lumpur pada edisi terdahulu, KL20 2026 dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan negara yang lebih berfokus dan berorientasikan hasil.

Menurut beliau, penganjuran kali ini memberi tumpuan kepada mobilisasi modal, pengkomersialan teknologi, peluasan akses pasaran serta pertumbuhan syarikat pemula Malaysia ke peringkat global.

“KL20 merupakan antara inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara dan membawa Kuala Lumpur berada dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula terbaik global menjelang tahun 2030.

“Persidangan ini dirangka untuk menghasilkan peluang pelaburan dan kerjasama komersial yang lebih nyata kepada syarikat tempatan kerana KL20 juga bukan sekadar persidangan biasa di mana setiap pertemuan membuka laluan kepada pelaburan, pengkomersialan teknologi dan akses pasaran yang dapat mempercepat pertumbuhan syarikat Malaysia ke peringkat global.

“Dengan membawa KL20 ke Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, kita menghubungkan kekuatan industri, bakat dan modal di setiap negeri dan wilayah bagi membina ekosistem syarikat pemula nasional yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran KL20 2026 di sini hari ini di mana penganjurannya yang memasuki edisi kedua dirangka bagi meneruskan momentum yang dibina sejak 2024.

Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (tengah) hadir pada Majlis Pra Pelancaran KL20 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, KL20 2026 @ Pulau Pinang: Silicon Surge akan diadakan pada 24 September ini dengan memberi fokus kepada industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik termasuk usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab reka bentuk litar bersepadu serantau selaras dengan aspirasi industri bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.

Katanya, KL20 2026 @ Johor: Creative Reimagined pada 28 September depan pula akan mengetengahkan ekonomi kreatif dan permainan digital bagi menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan bernilai tinggi kepada bakat muda.

“KL20 2026 akan diakhiri dengan acara kemuncak di Kuala Lumpur pada 5 November ini  yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat teknologi, mobilisasi modal, akses pasaran dan pengukuhan infrastruktur ekosistem syarikat pemula negara.

“Pelaksanaan KL20 2026 turut melibatkan kerjasama rakan strategik Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar dan
MRANTI.

“Turut terlibat CREST, Cradle Fund, Malaysia Digital Economy Corporation, InvestPenang; Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation serta kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast