Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baharu, Nurul Izzah Anwar hadir pada Sesi Perbahasan Perwakilan Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar menjelaskan keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat setelah pertimbangan yang panjang.

Menurutnya, ia untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR, memberikan dukungan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta akar umbinya.

“Kepada seluruh anggota KEADILAN, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.

“Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan Nurul Izzah memohon mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memberi cuti sementara kepada beliau.

Susulan itu, tambah Fahmi, mesyuarat MPP PKR hari ini turut memutuskan Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara, manakala Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari menggalas jawatan Pengarah Pilihanraya Keadilan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengucapkan sepenuh penghargaan kepada Anwar beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusanya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden.

“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Naib Presiden menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara dan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini.

“Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional KEADILAN pada 14-15 Ogos 2026 kelak,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast