KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red bersama beberapa defendan lain membayar semula kira-kira RM1.4 juta kepada sekumpulan pembeli selepas mendapati dakwaan penipuan dalam urus niaga jual beli tanah rizab Melayu di Hulu Langat berjaya dibuktikan.
Hakim Siti Fatimah Talib membuat keputusan itu selepas mendapati representasi material dibuat oleh Adnan dan A.A. Properti Sdn. Bhd. kepada pembeli adalah bersifat penipuan apabila lot tanah dipasarkan dan dijual walaupun hak milik tanah induk tidak pernah dipindahkan kepada syarikat berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Adnan dan A.A. Properti Sdn. Bhd. membayar ganti rugi teladan kepada plaintif selain faedah lima peratus setahun serta kos mengikut setiap tindakan guaman.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati harga pembelian tanah induk masih belum dijelaskan sepenuhnya selain urusan pusaka, penukaran syarat dan kelulusan berkaitan tanah belum diselesaikan ketika lot tanah berkenaan dipasarkan kepada orang awam.
Menurut hakim, walaupun mengetahui keadaan itu, defendan terus memasarkan lot tanah, menerima bayaran penuh daripada pembeli, namun gagal menyerahkan hak milik tanah atau memulangkan wang yang diterima.
Mahkamah turut memutuskan Adnan bukan sekadar bertindak sebagai pengarah syarikat, sebaliknya memainkan peranan aktif mengawal operasi A.A. Properti Sdn. Bhd., menandatangani perjanjian jual beli serta mengetahui isu berkaitan hak milik tanah dan pembayaran kepada pemilik asal.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan dakwaan penipuan terhadap Adnan dan A.A. Properti Sdn. Bhd. berjaya dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah turut mengarahkan pembayaran balik harga belian kepada semua plaintif yang terlibat dalam empat tindakan guaman yang dibicarakan secara bersama.
Bagaimanapun, tuntutan terhadap beberapa defendan lain ditolak selepas mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan mereka secara peribadi dengan penipuan tersebut.
Mahkamah turut menolak tuntutan berkaitan pemulangan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB), ganti rugi am tambahan dan amanah konstruktif.
Sementara itu, peguam yang mewakili 17 plaintif, Bhavanash Sharma berkata, keputusan itu mengakhiri perjuangan selama tujuh tahun selepas tindakan pertama difailkan pada 2019.
Katanya, mahkamah mengarahkan kira-kira RM1.4 juta dibayar oleh Adnan, A.A. Properti Sdn. Bhd. serta beberapa defendan lain kepada plaintif.
“Kes ini mengambil masa tujuh tahun. Tindakan pertama difailkan pada 2019 sebelum empat tindakan guaman dibicarakan secara bersama.
“Bagaimanapun, tuntutan terhadap seorang lagi pengarah syarikat tidak berjaya dan kami akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada untuk mengemukakan rayuan atau sebaliknya,” katanya kepada media selepas prosiding.
Bhavanash berkata, mahkamah tidak menetapkan tempoh khusus bagi pembayaran jumlah yang diperintahkan, justeru pihaknya akan meneruskan proses pelaksanaan penghakiman bagi mendapatkan semula wang anak guamnya.
“Kami akan mendapatkan perintah yang dimeterai sebelum meneruskan proses penguatkuasaan.
“Kami juga percaya terdapat beberapa aset yang boleh dikenal pasti bagi tujuan pelaksanaan penghakiman sekiranya jumlah yang diperintahkan mahkamah gagal dijelaskan,” katanya lagi.
Kes itu bermula pada 2019 apabila sekumpulan pembeli mendakwa menjadi mangsa penipuan urus niaga pembelian lot tanah rizab Melayu di Hulu Langat sebelum memfailkan tindakan undang-undang terhadap Adnan, syarikatnya serta beberapa pihak lain. -MalaysiaGazette
















