SHAH ALAM – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia mendakwa jumlah gajah dari negara ini yang dihantar ke luar negara sejak 1977 sebenarnya melebihi 30 ekor, jauh lebih tinggi daripada kenyataan rasmi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Parlimen.
Penasihatnya, Norashikin Che Omar berkata, angka itu berbeza dengan maklumat yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh ketika sesi Kamar Khas sebelum ini yang menyatakan hanya 10 ekor gajah direkodkan dihantar ke luar negara.
“Setakat ini sahaja, hasil carian dan maklumat yang kita kumpulkan, kita berjaya mengesan sekurang-kurangnya 30 ekor gajah dari Malaysia telah dihantar ke pelbagai negara seperti Jepun, Australia, Amerika Syarikat, Jerman dan Uzbekistan.
“Kita percaya jumlah sebenar mungkin lebih banyak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, isu penghantaran itu mencetuskan kebimbangan mendalam apabila tiga ekor gajah tempatan iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) telah diserah dan dipindahkan secara rasmi ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun pada 10 Mac lalu.
“Nasib DAK amat membimbangkan kerana terpaksa dikurung dalam ruang tertutup yang sempit selama tiga hingga empat bulan bagi menghadapi musim sejuk panjang, situasi yang bertentangan dengan habitat asal hutan tropika Malaysia.
“NRES bersama Perhilitan merupakan pihak berkuasa pusat yang memegang rekod rasmi, meluluskan permit eksport hidupan liar serta menyelia pusat perlindungan.
“Selain itu, pendedahan juga menunjukkan pengurusan Zoo Melaka, yang dahulunya di bawah penyeliaan Perhilitan sebelum diswastakan turut memainkan peranan utama dalam kebanyakan transaksi dan penghantaran gajah ke luar negara pada masa lalu, selain penganugerahan gajah sebagai hadiah diplomatik oleh pihak kerajaan atau istana,” katanya lagi.
Menurut Norashikin, sebahagian besar gajah yang dihantar ke luar negara berdepan nasib menyedihkan termasuk dipaksa menjadi haiwan persembahan sarkas serta mengalami penderaan fizikal dan mental semasa proses latihan.
“Ada gajah kita yang diserahkan kepada syarikat sarkas dipukul dengan cangkuk, dianiaya dan direnjat elektrik semata-mata untuk melatihnya membuat persembahan.
“Apabila diselia dalam persekitaran yang tidak mempunyai habitat sesuai, haiwan ini terdedah kepada kecederaan fizikal yang teruk dan tekanan jiwa atau zoochosis,” katanya.

Norashikin turut memberi contoh beberapa kes tragis membabitkan gajah seperti Bongsu di Zoo Melbourne yang terpaksa dimatikan (euthanasia) akibat kecederaan sendi yang teruk selepas berpuluh tahun berada di atas lantai konkrit selain eksploitasi sperma secara berulang kali.
“Ada gajah juga yang dilaporkan menghidap penyakit berbahaya seperti tuberkulosis (TB) dan jangkitan organ dalaman akibat persekitaran kurungan yang sempit serta cuaca melampau yang tidak sepadan dengan habitat asal mereka.
“Semua data dan laporan ini kami perolehi daripada zoo sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menggesa pihak kerajaan, NRES dan Perhilitan untuk menyemak semula rekod eksport haiwan liar negara serta mengambil langkah proaktif dalam memelihara habitat sedia ada daripada terus diteroka.
“Ini semua bagi memastikan tiada lagi gajah liar terpaksa dipindahkan atau dijual ke luar negara.
“Habitat mereka perlu dijaga dengan baik, bukan hanya pertukaran atau dijual. Ini khazanah negara kita.
“Melihat kepada apa yang berlaku pada haiwan-haiwan ini menggambarkan nasib mereka tiada siapa yang mahu membelanya,” ujarnya lagi.
Tambahnya, kes DAK tidak mendapat perhatian kerana semua pihak yang dinyatakan sentiasa tidak mengaku dan enggan bertanggungjawab.
“Sebagai NGO dan orang awam yang sayangkan pada khazanah negara ini, tindakan tolak menolak kes ini memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab.
“Kami ada pasukan peguam yang sentiasa memberi nasihat dari sudut perundangan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.
“Kembalikan DAK ke Malaysia semula,” katanya. -MalaysiaGazette















