KUALA LUMPUR — Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengingatkan semua pegawai yang menerima kenaikan pangkat supaya terus mengamalkan integriti, akauntabiliti dan kepimpinan berkesan dalam melaksanakan amanah selain memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, kenaikan pangkat bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan terhadap prestasi dan perkhidmatan sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar memimpin pasukan serta memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kenaikan pangkat merupakan satu proses penting dalam kesinambungan kepimpinan pasukan. Ia perlu disertai dengan pengalaman, idea baharu dan komitmen tinggi untuk terus memacu kecemerlangan organisasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Fadil turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pegawai yang menerima pemakaian pangkat serta menghargai komitmen dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dalam Polis Kuala Lumpur.
Beliau berharap pegawai terlibat dapat meneruskan kecemerlangan dengan memperkukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan sentiasa menjunjung prinsip integriti serta akauntabiliti.
Menurutnya lagi, kepimpinan yang berkesan bukan hanya diukur melalui kejayaan operasi malah turut bergantung kepada keupayaan membimbing anggota bawahan, membina semangat berpasukan dan mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis.
Mengulas cabaran semasa, Fadil berkata, landskap keselamatan yang semakin kompleks memerlukan seluruh warga PDRM terus memperkukuhkan komitmen dalam membanteras jenayah, memerangi penyalahgunaan dadah, memperkasakan risikan serta meningkatkan kerjasama strategik bersama komuniti.
Terdahulu, pada majlis berkenan, seramai enam pegawai kanan PDRM Kontinjen Kuala Lumpur diberi amanah baharu menerusi pertukaran dan pelantikan bagi mengisi beberapa jawatan penting termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi dan Sentul.
Pelantikan itu turut membabitkan jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi.
Berdasarkan senarai pertukaran dan pelantikan yang dikeluarkan Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dan Senior Asisten Komisioner Szalee Adam masing-masing terlibat dalam pertukaran bagi jawatan Ketua JSJ.
Bagi jawatan Ketua JSJN pula, pertukaran membabitkan Asisten Komisioner Haslah Bachok dan Asisten Komisioner Kee Hang Kee.
Sementara itu, jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi menyaksikan pertukaran antara Senior Asisten Komisioner Szalee Adam dan Supritendan Nuzulan Mohd Din.
Bagi jawatan Ketua Polis Daerah Sentul, pertukaran melibatkan Asistem Komisioner Basri Sagoni dan Supritendan Jasni Zolpa.
Jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi pula menyaksikan pertukaran antara Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Md Ali dan Asisten Komisioner Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman.
Manakala bagi jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi, pertukaran melibatkan Asisten Komisoner Zulkarnain Samsudin dan Supritendan Ong Seng Keon. – MalaysiaGazette
















