Antara lokasi agihan Jalur Gemilang itu termasuk di premis perkakasan di Bertam Pertama di sini, yang pernah menjadi perhatian tahun lalu selepas tular insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

KEPALA BATAS – Sebagai langkah proaktif mengelakkan kekeliruan ketika pemasangan Jalur Gemilang, Pusat Khidmat Adun Bertam mengambil inisiatif mengagihkan bendera kebangsaan yang siap dipasang bersama kayu kepada premis perniagaan dan pusat komersial sekitar kawasan itu, hari ini.

Antara lokasi agihan Jalur Gemilang itu termasuk di premis perkakasan di Bertam Pertama di sini, yang pernah menjadi perhatian tahun lalu selepas tular insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak 200 Jalur Gemilang diagihkan sebagai permulaan menerusi kerjasama bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemuda UMNO serta golongan anak muda.

“Kita nak pastikan langkah proaktif supaya tidak ada lagi kekeliruan bila pemasangan Jalur Gemilang dibuat.

“Sebab itu bagi permulaan ini kita datang ke kedai-kedai untuk buat agihan dan bukan saja di kawasan Bertam, malah seluruh kedai di Kepala Batas kita akan berikan nanti,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Jalur Gemilang di sekitar Bertam Permata di sini, hari ini.

Tambah Reezal Merican, pengedaran awal itu adalah sebagai pengenalan sebelum pelancaran sebenar Semarak Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas pada 23 Ogos ini.

Katanya, menerusi program berkenaan, sebanyak 20,000 Jalur Gemilang yang turut dilengkapi kayu akan diagihkan ke seluruh kawasan Parlimen Kepala Batas dengan bantuan sukarelawan dalam kalangan anak muda.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka pendaftaran kepada golongan muda yang berminat untuk menyertai gerakan pemasangan Jalur Gemilang di seluruh kawasan berkenaan.

“Saya mahu warnakan seluruh Kepala Batas ini dengan warna Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.

“Inisiatif itu turut bertujuan memupuk perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast