KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin telah diberikan amanah bagi menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras Parlimen Ampang.
Azman berkata, amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memastikan penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat dapat dijalankan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
“Selaras dengan tanggungjawab tersebut, saya akan menyelaras usaha bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan.
“Penyampaian bantuan ini juga akan dikoordinasikan secara rapat bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, sebarang permohonan bantuan berhubung kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Ampang boleh dikemukakan secara terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tindakan penyelarasan selanjutnya.
“Saya bersama pasukan komited untuk memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti demi mengutamakan kebajikan warga Ampang,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail melahirkan rasa kecewa dan terkilan selepas akses beliau terhadap sistem pengurusan permohonan peruntukan khas (MyKhas) didakwa disekat, sekali gus menyukarkan penyaluran bantuan serta perkhidmatan kepada penduduk di kawasan parlimen berkenaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















