Penguatkuasa KPDN memeriksa topi keledar yang disita dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyita 2,113 unit barangan bernilai RM701,950 dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang kerana disyaki menyimpan topi keledar motosikal tidak mematuhi penandaan keselamatan serta barangan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

Serbuan kira-kira pukul 3 petang itu dijalankan secara bersepadu oleh penguat kuasa KPDN Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan dan pemantauan berterusan sebelum operasi dilaksanakan.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pemeriksaan turut melibatkan empat pekerja warga tempatan, seorang pekerja bukan warganegara dan tiga pengarah syarikat yang semuanya warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, KPDN Selangor berjaya membuka dua kes berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes pertama, sebanyak 1,413 unit topi keledar motosikal disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM211,950.

Kes itu diambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, khususnya Perintah Perihal Dagangan 2011 (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012.

Sementara itu, Muhamad Hanif berkata, kes kedua membabitkan penyitaan 700 unit barangan bernilai kira-kira RM490,000 di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) akta tersebut kerana memiliki, menjaga atau mengawal barangan bagi tujuan perdagangan atau pengilangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

“Bagi individu atau bukan pertubuhan perbadanan pula, denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman boleh berupa denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, Muhamad Hanif menegaskan, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Jelasnya, denda itu boleh meningkat sehingga RM30,000 bagi setiap barang bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Tambah beliau, bagi pesalah bukan pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Penguatkuasa KPDN memeriksa topi keledar yang disita dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, semalam.

Muhamad Hanif memberi amaran keras kepada individu dan syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terbabit dalam aktiviti pengedaran barangan yang menyalahi peraturan.

“KPDN mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati ingkar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast