KUALA LUMPUR – Seramai 22 warga Indonesia berusia antara 28 hingga 51 tahun dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua tertuduh terdiri daripada 21 wanita dan seorang lelaki.
Menurutnnya, mereka ditahan semalam di sebuah kilang di Port Klang, Selangor, menerusi operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Getah yang dijalankan JPN bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor.
“Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah, kesemua tertuduh mengaku bersalah.
“Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 Ogos 2026 (semalam) terhadap kesemua tertuduh,” katanya.
Tambahnya, prosiding di Mahkamah Majistret MM5 didengar di hadapan Majistret Nor Azilah Mat, manakala prosiding di Mahkamah Majistret MM4 didengar di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Md Shahedan Md. Taib; Zulkarnain Ahmad dan Mohd Ramzi Adnan, manakala arahan pertuduhan dikeluarkan oleh TPR JPN, Sufi Aiman Azmi.
“Jabatan Pendaftaran Negara menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri serta memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette















