KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara empat tahun di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mengabaikan kanak-kanak lelaki di kolam renang dewasa sehingga menyebabkan kematian pada Julai lalu.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wahyuni Tanjung, 44, selepas pertuduhan dibacakan hari ini dan memerintahkan hukuman itu dilaksanakan bermula pada tarikh dia ditahan iaitu 29 Julai 2026.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan telah melakukan pengabaian terhadap mangsa hingga menyebabkan kematiannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kolam renang dewasa, di sebuah kondominium dalam daerah Sentul di sini, antara jam 6 hingga 7 petang pada 28 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim yang mengendalikan kes memohon supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi kepada penjaga kanak-kanak di luar.
Tertuduh yang kelihatan sebak semasa ditunjukkan laporan bedah siasat ditunjukkan mangsa tidak membuat sebarang rayuan bagi pengurangan hukuman namun memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya telah meninggal dunia 14 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun di Indonesia.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 Julai lalu sekitar jam 4.20 petang, ibu mangsa meminta pembantu rumahya membawa dua anaknya berusia lima tahun dan mangsa dua tahun tiga bulan untuk mandi di kolam renang di tingkat lapan sebuah residensi di ibu negara.
Kemudian sekitar jam 7 malam, ibu mangsa berusia 24 tahun itu menerima panggilan daripada tertuduh memberitahu mangsa lemas dan setibanya di lokasi, pengadu mendapati mangsa berada di atas kerusi berhampiran kolam renang dewasa.
Tertuduh merupakan ibu tunggal itu memaklumkan dia pergi ke bilik air ketika kedua-dua kanak-kanak terbabit sedang mandi sebelum menemui mangsa dalam keadaan lemas sebaik kembali di lokasi kejadian.
Orang awam kemudian memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa sebelum mangsa dibawa ke klinik di residensi itu dan seterusnya dirujuk ke Hospital Selayang dengan menaiki ambulans.
Mangsa yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang kemudian disahkan meninggal dunia pada 29 Julai jam 4 pagi dan mayatnya dibawah ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa adalah consisten with drowning dan tertuduh didapati telah bekerja sebagai pembantu rumah keluarga itu kurang daripada sebulan dan dipertanggungjawabkan menjaga kedua-dua anak pengadu.
Siasatan lanjut mendapati, tertuduh didakwa membawa mangsa dan abangnya ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung walaupun mengetahui kedua-duanya tidak boleh berenang dan meninggalkan mereka tanpa pengawasan ketika pergi ke bilik air. – MalaysiaGazette
















