Muhammad Affan.

KUALA LUMPUR – Golongan muda dan mahasiswa Sabah perlu memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh hubungan strategik dengan Putrajaya bagi memastikan agenda pembangunan belia yang lebih dinamik dan inklusif.

Aktivis Pemuda Parti Wawasan Negara (Wawasan), Muhammad Affan Jumahat berkata, kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri merupakan kunci utama dalam memastikan suara golongan muda tidak dipinggirkan sebaliknya menjadi teras kepada dasar-dasar dan polisi kerajaan.

“Jambatan ini bukan sekadar istilah ataupun retorik politik semata-mata tetapi ia platform komunikasi dan pemahaman yang perlu diisi dengan kesedaran politik matang.

“Belia dan mahasiswa hari ini perlu peka dan cakna dengan dasar-dasar kerajaan agar mereka boleh memanfaatkan saluran sedia ada untuk pembangunan diri dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mahasiswa perlu menjadi ejen semak dan imbang yang konstruktif.

“Pemerkasaan belia di Sabah memerlukan pendekatan yang melangkaui pembangunan fizikal dan sebaliknya memberi tumpuan kepada kesejahteraan sosioekonomi golongan muda.

“Saya percaya, jika jambatan komunikasi antara belia Sabah dan kepimpinan di Putrajaya ini diperkukuh, kita akan melahirkan generasi pemimpin yang lebih berwibawa, berani menyuarakan pandangan, serta mampu memartabatkan hak negeri dalam bingkai negara yang progresif,” tambahnya lagi.

Muhammad Affan yang juga bekas calon di Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor pada PRN Sabah lalu turut menyambut baik pelbagai inisiatif kerajaan yang telah membantu ramai anak muda di Sabah termasuk program sokongan usahawan yang telah berjaya melahirkan ramai ikon belia berjaya.

“Kesedaran mahasiswa mengenai peluang-peluang ini perlu dipertingkatkan melalui advokasi yang lebih berkesan di setiap peringkat akar umbi bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus perdana pembangunan.

“Semoga lebih banyak program dialog dan kesedaran yang melibatkan belia secara langsung, bagi memastikan aspirasi ‘Sabah Maju Jaya’ dapat diintegrasikan dengan baik dalam agenda pembangunan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast