GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bertindak tegas susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwanya menyerang sekutu dalam kerajaan negeri.
Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, Guan Eng mendakwa kenyataan Reezal Merican bukan sahaja tidak mesra, malah bersifat kasar terhadap pihak yang sepatutnya menjadi sekutu dan rakan kerjasama dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila Reezal Merican menuduh DAP dan PKR mengamalkan politik identiti, sedangkan menurutnya BN dan Perikatan Nasional (PN) merupakan pelaku utama politik sedemikian.
“Mampukah hubungan antara UMNO dan DAP dalam kerajaan negeri Pulau Pinang terus kekal baik serta bebas daripada ketegangan apabila UMNO menjadi ‘gunting dalam selimut’ dengan melancarkan serangan yang langsung tidak berasas seperti ini?
“Dengan rakan seperti ini, kita tidak lagi memerlukan musuh. Lebih-lebih lagi apabila PN, yang sebelum ini merupakan seteru politik UMNO, kini telah menjadi sekutu rapatnya. Adakah UMNO kini akan menggunakan kedudukannya untuk memanfaatkan sumber kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membantu PN, sambil mengenepikan Pakatan Harapan (PH)?
“Sudah tiba masanya kepimpinan politik Pakatan Harapan di negeri ini bertindak dengan tegas bagi pihak para pengundi kita untuk mempertahankan maruah dan martabat kita sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang serta sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat,” katanya.
Media semalam melaporkan Adun Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan hubungan antara UMNO dan DAP di Pulau Pinang kekal baik meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau pada masa sama menolak dakwaan BN dan PN mengeksploitasi politik identiti untuk meraih sokongan pengundi. – MalaysiaGazette
















